Featured

Surat Terbuka buat Dato’ Dr Noraini Ahmad

Azrie Ezaidi

Ke hadapan YB Dato’ Dr Noraini sebagai Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, saya menulis warkah terbuka ini sebagai seorang mahasiswa biasa namun mempunyai harapan tinggi terhadap masa hadapan institusi pengajian tinggi negara. Surat ini tidak lain tidak bukan menyentuh berkenaan penganjuran pertandingan Tik-Tok untuk anak muda mengisi masa sepanjang tempoh PKP. Cadangan tersebut saya lihat amat tidak profesional dan mampu meruntuhkan imej dan nilai intelektual mahasiswa.

Surat ini bukanlah berbaur kecaman, sebaliknya sebagai kritikan membina bukan sahaja untuk YB Menteri, juga untuk seluruh penuntut ilmu di institusi pengajian tinggi yang gagal memenuhi tempoh PKP ini dengan aktiviti ilmiah dan bermanfaat.

YB Dato’, justeru sebelum saya mengulas lanjut, suka untuk saya menekankan salah sebuah konsep asas falsafah pendidikan kebangsaan (FPK) iaitu mengenai ilmu, nilai dan peranannya dalam pembangunan insan dan masyarakat.

Merujuk buku Peranan Universiti, nukilan Prof. Wan Mohd Nor yang merupakan pengasas dan bekas pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menggariskan tiga proposal wajib bagi institusi pengajian tinggi dalam membina ketamadunan masyarakat.

Salah satunya adalah perlunya sesebuah institusi pengajian tinggi diterajui oleh seorang pemimpin akademik yang berkaliber dari sudut penguasaan ilmunya.

Azrie Ezaidi

Institusi pengajian tinggi seharusnya menjadi tanda aras ketertinggian intelektual dan ketamadunan masyarakatnya. Nilaian universiti terbaik adalah universiti yang mampu menghasilkan impak bukan sahaja terhadap warganya sahaja malah turut mempengaruhi masyarakat umumnya. Mahasiswa hari ini mempunyai masalah kebuntuan dalam membina jati diri dan jiwa bakti. Maka, pengembalian semula jawatan Menteri khusus untuk memacu institusi pengajian tinggi sememangnya diperlukan buat masa kini.

Berbalik kepada proposal Prof. Wan Mohd Nor, saya melihat peneraju KPT iaitu YB Dato’ sendiri perlu menjadi suri teladan yang ditagihkan mahasiswa sebagai simbol kepada pelbagai ekspektasi masyarakat terhadap proses penghasilan barisan intelektual di hari muka.

Ekspektasi masyarakat agar mahasiswa menjadi jurubicara ummah, ejen perubahan komuniti, entiti semak dan imbang kepada badan eksekutif sehinggalah kepada peranan sebagai golongan pendesak.

Azrie Ezaidi

Jikalau justifikasi YB Dato’ Noraini menganjurkan pertandingan video TikTok adalah untuk menyelami pemikiran dan jiwa mahasiswa era kini serta kononnya kaedah moden untuk berkomunikasi dengan mahasiswa, maka benarlah masih jauh lagi perjalanan kita dalam membina anak muda yang bertamadun.

Ruang ilmu dan intelektual adalah landasan terbaik untuk menjiwai mahasiswa. Arus kemodenan tidak seharusnya menjadi tembok pemisah bagi membudayakan mahasiswa dengan kerangka keilmuan, bukan aktiviti hedonisme yang merosakkan akal.

Waktu luang dan kosong sepanjang PKP perlu diuruskan dengan budaya yang menyegarkan minda dan jiwa sehari-hari. Bukan dengan merakam joget tari atau aksi yang merendahkan martabat mahasiswa.

Azrie Ezaidi

Bagi tindakan segera, saya mencadangkan agar pertandingan tersebut dibatalkan, atau jika mahu teruskan juga disarankan agar YB meletakkan garis panduan dan tatacara yang berhemah dan beretika untuk setiap rakaman yang dimuat naik peserta.

1. Kemiskinan mahasiswa dalam memiliki minat membaca dan bereksplorasi.

Di sini, YB Menteri boleh berkolaborasi dengan Perpusatakaan Negara Malaysia dengan menganjurkan sebarang aktiviti mahupun pertandingan berteraskan budaya membaca. Pada waktu yang sama, kita dapat mempromosikan karya-karya dan terbitan khususnya hasil tinta ilmuan tempatan. Kalau mahukan jiwa muda dan citarasa era moden, mungkin YB boleh membuat galakan membaca dengan kaedah ‘challenge’ di platform media sosial.

2. Kemalasan dan kurangnya motivasi mahasiswa dalam berkarya dan melontarkan idea.

Ilmu akan beku dan sebu jika hanya berlegar di dalam otak sebelum beransur-ansur hilang dimakan zaman. Menulis dan berkarya menjadi sebuah lapangan ekspresi jiwa terbaik di saat kebuntuan dan keseorangan. Maka YB Dato’ boleh memberikan dorongan dan motivasi untuk mahasiswa berkarya. Perkenalkan juga kepada mahasiswa kini betapa ramainya sasterawan dan intelektual negara yang patut dijadikan model berbanding ilmuan Barat.

3. Masalah kesihatan mental mahasiswa yang kian parah akibat penjarakan sosial PKP.

Bagi isu kesihatan mental, saya mencadangkan KPT berkerjasama dengan bahagian kaunseling di universiti masing-masing bagi memantau perkembangan mahasiswa khususnya yang terkandas di kolej kediaman mahupun rumah sewa.

Bagi pendekatan peribadi di media sosial, YB Dato’ boleh menganjurkan pertandingan berbentuk poster atau video bagi mahasiswa menyampaikan mesej penguat semangat kepada rakan-rakan mereka serta barisan ‘frontliners’.

Azrie Ezaidi

Kreativiti mahasiswa pastinya akan terserlah dan mampu memberikan sedikit motivasi buat seluruh warga Malaysia.

Cukuplah berikut cadangan daripada saya yang kerdil ini. Saya yakin, ramai lagi barisan penasihat dan professional di belakang YB yang sedia berkongsi pandangan dan idea bernas. Mahasiswa di seluruh Malaysia pastinya mengharapkan yang terbaik daripada YB Dato’ dan barisan kepimpinan yang lain.

Saya mendoakan yang terbaik buat Kementerian Pengajian Tinggi khususnya dan kerajaan Malaysia umumnya dalam menangani segala masalah yang timbul sewaktu wabak COVID-19 melanda.

#KITAPASTIMENANG


Azrie Ezaidi

Mahasiswa Universiti Malaya

RESENSI BUKU NEO-SISWA

TAJUK BUKU: WHO RULES THE WORLD?

PENULIS: NOAM CHOMSKY

Buku ini ditulis oleh Noam Chomsky, seorang pensyarah dalam bidang linguistik di Massachuset’s Institute of Technology (MIT). Beliau juga aktif dalam bidang kajian sosial dan politik dengan lontaran kritikan melalui pelbagai medium seperti penulisan dan sebagainya. Seperti yang dikenali ramai, Chomsky kerap memberikan kritikan terhadap banyak tindakan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat. Tidak hairan sekiranya pada tahun 70 an, beliau dikatakan sebagai musuh Presiden A.S pada waktu itu, Richard Nixon.

Secara umumnya, buku ini juga memaparkan sisi antagonis Amerika Syarikat dalam arena politik dan hubungan antarabangsa. Penulis menyatakan bahawa Amerika Syarikat sering mempersoal isu kebebasan bersuara, hak asasi dan sebagainya namun tindakan yang diambil sering bertentangan dengan persoalan yang mereka lontarkan.

Luqman Hakim bin Syahbudin

Sebagai seorang ahli akademik yang terkemuka, sudah tentu segala isu-isu yang dibangkitkan di dalam buku ini turut disertakan hujah dan alasan yang munasabah.

Namun demikian, penulis menekankan bahawa tidak semudah itu untuk kita katakan negara Amerika Syarikat yang mengendali (rule) dunia. Benar, mungkin sahaja dalam ilmu hubungan antarabangsa apabila ditanyakan siapa yang memerintah/mengawal dunia maka jawapannya akan tertumpu kepada sesebuah negara tertentu. Hal ini kerana negara mempunyai wilayah, kekuatan tentera dan lain-lain yang membolehkan ianya dikatakan sebagai mengawal negara lain. 

Namun, penulis mengingatkan agar tidak melupakan golongan yang dikatakan sebagai “Sektor Korporat Global”. Mereka ini adalah sebenarnya “de facto world government” yang menentukan tindakan polisi sesebuah negara. Penulis memberikan satu petikan kajian yang menyatakan elit-elit ekonomi dan pertubuhan yang berlatar belakangkan keuntungan perniagaan (business interest) ini sebenarnya bebas untuk menentukan polisi kerajaan Amerika Syarikat berbanding dengan rakyat yang kurang pengaruhnya dalam penentuan polisi.

Selain itu, perancangan Amerika Syarikat untuk menjadi kuasa besar dunia juga sudah dirancang dan disusun sejak tamatnya perang dunia ke-2.

Semasa negara-negara lain sedang membaiki dan memulihkan ekonomi negara mereka yang meleset kesan daripada perang dunia, Amerika Syarikat dilihat antara kuasa dunia yang terkuat bersama dengan Soviet Union yang kemudiaannya runtuh pada tahun 1991.

Luqman Hakim bin Syahbudin

Dalam pada masa itu, Amerika Syarikat cuba untuk menguasai dan mengawal negara-negara lain dengan menubuhkan serta mendapatkan kuasa veto dalam pertubuhan-pertubuhan antarbangsa seperti NATO, United Nation, IMF dan lain-lain.

Turut dirungkaikan juga di dalam buku ini berkaitan dengan agenda global Amerika Syarikat yang dengan sengaja melakukan campur tangan (intervension) dalam hal ehwal politik negara lain. Mereka kerap menggunakan alasan atas nama kemanusiaan, demokrasi ataupun kerana diundang. Bahkan, penulis turut menghuraikan bagaimana tindakan-tindakan ini menyebabkan berlakunya krisis-krisis yang lain seperti pelarian, isu keganasan global dan sebagainya. 

Sekiranya diamati dengan teliti, masih banyak lagi hal yang dibangkitkan penulis termasuk isu yang berkait dengan beberapa permasalahan yang melanda umat Islam seperti tuduhan pengganas, Islamophobia dan lain-lain. Golongan kapitalis dilihat sebagai antara punca besar yang menyebabkan isu-isu global pada hari ini terjadi.

Luqman Hakim bin Syahbudin

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana mungkin seorang Chomsky yang merupakan rakyat Amerika Syarikat sanggup mendedahkan dan mengkritik negaranya sendiri? Untuk menjawab persoalan tersebut, penulis memberikan penerangan sejarah tentang seorang ahli tentera perancis dahulu yang bernama Alfred Dreyfus sebagai alasan atas tindakan yang beliau lakukan. Beliau (Dreyfus) dikatakan menerima hukuman penjara seumur hidup kerana dituduh mengkhianati negaranya sendiri tanpa sebarang bukti yang kukuh. Kisah ini juga dikatakan merupakan punca kepada terbentuknya perkataan ‘Intelektual’.

Kesimpulannya, genre buku ini boleh dikategorikan sebagai bacaan yang agak berat kerana bermacam fakta sejarah dan terma-terma yang tidak biasa didengar oleh sesetengah pembaca terkandung di dalamnya. Namun demikian, bacaan seperti ini yang melibatkan isu global wajar dijadikan bacaan sampingan mahasiswa/wi. Hal ini sekaligus membuka mata kita untuk memahami kewajaran dan rasional tindakan yang dilakukan oleh sesuatu pihak. 

Dalam Islam, hubungan bernegara bukanlah satu perkara yang asing dan dikecualikan daripada peraturan dan syarak. Kita digalakkan untuk memainkan peranan yang penting sebagai catur politik dengan negara yang lain agar menjadi salah satu medium menyebarkan dakwah Islam. Ini selari dengan firman Allah swt di dalam al-quran yang bermaksud; 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra dengan yang lain). sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha dalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

– Surah al-Hujurat; 13

Dengan ini, syiar-syiar Islam yang bersifat universal dan mencakupi segala aspek ini mampu tersebar luas di setiap pelusuk negara dan membawa kita untuk mengesakan Allah swt. Berpesan-pesan lah ke arah kebaikan dan jauhkan diri dari kemungkaran. Semoga bermanfaat.


Luqman Hakim bin Syahbudin

Mahasiswa tahun dua, Jabatan Syariah dan Sains Politik Islam,

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Menyingkap Hikmah Agung Israk dan Mikraj

Pandangan : Wan Muhammad Arif

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 1 :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Surah al-Isra’ : 1


“ Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dalam bulan Rejab dan ia merupakan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa seterusnya diangkat pula ke Sidratul Muntaha. Peristiwa ini juga merupakan salah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW dan bukti kesetiaan para sahabat yang mampu berdiri teguh dibelakang nabi dan menguatkan keimanan dalam diri mereka. Apabila peristiwa perjalanan Israk dan Mikraj tersebut disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada penduduk Kota Mekah, ramai yang menolaknya. Namun Saidina Abu Bakar RA menerima peristiwa tersebut dan dengan yakin dan tegas menyatakan : “Aku percaya bahawa apa yang Muhammad ceritakan itu adalah benar”.

Continue reading “Menyingkap Hikmah Agung Israk dan Mikraj”

Dasar PPSMI Satu Langkah Ke Belakang

Pandangan : Nabila Husna

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau lebih mudah dikenali sebagai PPSMI merupakan nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris bagi menggantikan bahasa ibunda (Bahasa Melayu) sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-40, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Continue reading “Dasar PPSMI Satu Langkah Ke Belakang”

[BEBASKAN MUSLIM UIGHUR DARIPADA PENINDASAN]

NEO-SISWA STAND WITH MUSLIM UYGHURS!

Usaha yang kecil boleh kita lakukan dengan berkongsi maklumat mengenai penindasan yang berlaku ke atas Muslim Uighur. Semoga usaha dan amal ini akan menjadi bantuan kecil di hadapan Allah SWT bahawa kita telah melakukan sesuatu buat mereka daripada terus berdiam diri.

Walaupun isu ini berlaku pasang surut dalam pelbagai saluran media, namun, sepatutnya berita ini menjadi keutamaan untuk diikuti oleh umat Islam yang cinta akan saudaranya. Hakikatnya, kita sudah digemparkan dengan penindasan kerajaan China terhadap Muslim Uighur yang telah menghiasi akhbar dunia. Hal ini demikian kerana, dianggarkan sebanyak tiga juta orang etnik Muslim Uighur telah ditahan dalam ‘kem pendidikan’ yang bertujuan ‘menulis semula amalan Islam dengan budaya China’!

Selain itu, sesetengah kawasan yang dahulunya merupakan lokasi buat umat Islam Uighur menunaikan solat kini bertukar menjadi kawasan parkir kenderaan. Malah, bangunan dan kubah masjid diratakan bagi melenyapkan identiti Islam di kawasan tersebut. Tindakan itu sememangnya telah mencerminkan layanan buruk dan penindasan ‘violence’ kerajaan China terhadap etnik Uighur.

Jika direnungkan kembali, kejadian seperti ini pernah terjadi sewaktu kehancuran sistem pemerintahan Syria dengan ketidakstabilan politik, pembunuhan orang Islam, penindasan jiwa, dan rampasan harta berlaku. Hal ini ialah salah satu punca sekiranya umat Islam bersikap sambalewa dan mengabaikan kesedaran terhadap kepentingan Siyasah Shar‘iyyah (sistem pentadbiran yang berasaskan syariat) yang perlu disemat dalam diri individu Muslim. Ketidakfahaman yang tidak pernah diperbaik dan kemalasan untuk memahami bagaimana pentingnya penggunaan Siyasah Shar‘iyyah yang sebenarnya juga merupakan asbab daripadanya.

Ingatlah, Rasulullah ﷺ bukan hanya sekadar Nabi atau Rasul, tetapi baginda juga merupakan salah seorang negarawan ‘statesman’ yang unggul dan telah dicatat dalam sejarah perkembangan politik Islam. Baginda juga telah mengajari kita mengenai pelaksanaan siasah yang sebenar. Hal ini dapat dibuktikan dalam situasi genting dan mencabar semasa zaman awal kemunculan Islam di Mekah dengan tujuan dan harapan, agar Islam terus hidup ‘survive and sustain’ sehigga hari kiamat dan kehormatan umat Islam terjaga dengan sebaiknya.

Hal ini demikian kerana, Rasulullah ﷺ sangat mengetahui, bagaimana karakter mereka yang tidak senang dengan Islam. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat ke-118:

خَبَالا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ

“Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh, telah Kami terangkan kepada kalian ayat-ayat (Kami), jika kalian memahaminya.”

Bentuk-bentuk penindasan terhadap Muslim Uighur:

  1. Melarang pemberian nama bayi dengan nama-nama berupa Islam ‘common arabic names’, dengan ancaman tidak akan memperolehi kemudahan kesihatan dan pendidikan.
  2. Melarang ibu bapa Muslim daripada mengurus dan mentarbiah anak-anak mereka dengan didikan agama.
  3. Melarang anak-anak Muslim Uighur terlibat dalam kegiatan keagamaan.
  4. Memerintahkan seluruh Muslim Uighur untuk menyerahkan kesemua barang yang bercirikan agama seperti sejadah, mashaf al-Quran, dan termasuk juga simbol-simbol seperti bulan dan bintang.
  5. Merampas mashaf al-Quran dengan alasan mengandungi pengisian yang ekstrem.
  6. Melarang lelaki Muslim memanjangkan janggut.
  7. Memaksa Muslim untuk makan babi dan minum alkohol di “kem pendidikan”.
  8. Memaksa Muslim Uighur untuk meninggalkan agamanya dan menyanyikan lagu-lagu Parti Komunis.

Begitulah nasib mereka dalam menghadapi segala tekanan dan penindasan daripada kerajaan. Walau bagaimanapun, ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya berbeza. Hal ini bertujuan untuk melihat sejauh mana kita bermuhasabah dengan segala tindakan dan sumbangan kita terhadap masyarakat, khususnya yang menjadi titik tolak dalam menghasilkan Siyasah Shar‘iyyah.


Setia Bersama,

Asna binti Sulaiman
Kluster Siswi,
Neo-Siswa Universiti Malaya.