[SOLIDARITI DAN DOA TANPA PUTUS BUAT SELURUH UMAT ISLAM, KHUSUS BUAT PALESTIN]

Bismillahirrahmaanirrahiim,

سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّن

ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
http://ulamasedunia.org/2016/05/15/palestin-antara-perjuangan-umat-dan-persaingan-kuasa/

Hari ini kita menyambut hari Solidariti Antarabangsa buat Palestin , menyatakan suara pembelaan serta cintakan keamananan demi membela mereka yang tidak dosa , ditindas tanpa perikemanusiaan.

Keganasan dan sejarah hitam berdarah yang menimpa umat Islam di Palestin, Syria, Etnik Uighur di China, Etnik Rohingya di Myanmar, Kashmir dan seluruh umat Islam yang tertindas yang menggemparkan satu dunia kian terhakis dan dilupai oleh segelintir ummat Islam, seolah-olah dianggap isu ini telahpun selesai dan mereka hidup dalam keadaan aman.

Sebaliknya itu tidak berlaku di tempat mereka, keganasan terus menerus berlaku tanpa henti, rancangan-rancangan tidak pernah lelah disusun dan diatur hanya untuk menindas umat Islam disana sekaligus menghancurkan negara umat Islam tetap dalam perancangan mereka. Beginilah sikap Zionis yang tidak senang melihat umat Islam dalam keadaan aman.

https://www.aljazeera.com/news/2019/10/bars-china-officials-xinjiang-crackdown-191009025000362.html

Andai kata kita ditempat mereka, apa yang keluar dari mulut kita sudah pastinya ungkapan “Doakan kami” dan “Bantulah kami “. Kerana apa? Kerana mereka tidak mengecapi keamanan seperti yang kita rasai. Mereka berterusan merisaukan kehilangan keluarga dan anak anak mereka. Si anak pula takut kehilangan ibunya. Terlalu sedih dan sayu jika digambarkan.

Hari ini kita masih ada ahli keluarga di sisi, sebaliknya mereka kehilangan ahli keluarga di hadapan mata mereka sendiri. Hari ini kita masih diberi peluang menimba ilmu di semua peringkat pengajian, sekolah dan universiti sebaliknya mereka, peluang ini tidak senang dikecapi.

Hari ini kita terlalu bebas ke mana sahaja kita ingin tuju, sebaliknya mereka terlalu takut dan risau ingin keluar dari rumah.

Hari ini bekalan makanan kita lebih dari cukup, sebaliknya bagi mereka bekalan sekadar mencukupi untuk seharian.
Nikmat manakah lagi yang kita harus dustakan?

Namun dalam kedukaan dan kerisauan yang terus melanda mereka, apa pula peranan kita sebagai saudara seagama? Adakah kita hanya beranggapan mereka sudah selamat? Mereka sudah bebas dari cengkaman? Hanya tembakan doa tetap perlu diteruskan kepada seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia khususnya mereka yang ditindas .

الدعاء صلاح المؤمن

Doa itu senjata Mukmin

Siapakah yang mampu menghalang kuasa doa? Rasulullah berdoa untuk kemenangan Badar, lalu diberi kemenangan, Nabi Yunus AS berdoa memohon keampunan sewaktu berada dalam perut Nun, lalu diampunkan Allah. Meskipun hanya mampu berdoa, sekurang kurangnya itu tanda usaha kita dan tanda kasih serta sayang buat saudara kita di sana berbanding kita saudara seislam hanya punya rasa belas kasihan dan berdiam diri sahaja.

Ayuh sahabat muslimin dan muslimat, titipkan doa buat mereka walaupun sekali dalam sehari, kita tunjukkan solidariti yang berterusan dan kita azam untuk tetap terus berdoa buat mereka kerana mereka adalah saudara kita, kerana mereka adalah keluarga kita, kerana mereka insan tidak bersalah, kerana mereka memiliki fitrah sama dengan kita yang menginginkan keamanan terus dikecapi. Semoga dengan usaha ini, ianya menjadi saksi di akhirat kelak untuk kita jawab di hadapan Allah tentang tanggungjawab kita terhadap saudara kita.

اللهم أَعِزَّ الإسلامَ و المسلمين , اللهم أَذِلََّ الشِركَ و المُشرِكِين , أللهم انْصُرْ اخوانَنَا المسلمين و المجاهدين و المُسْتَضْعَفِين , فى فلسطين و فى لُبْنَان و فى العراق وفى كل مكان و فى كل زمان

Ya Allah! Muliakan Islam dan orang islam. Ya Allah! Hinakan Syirik dan musyrikin. Ya Allah! Tolonglah saudara-saudara kami yang muslim dan mujahidin dan golongan-golongan lemah, di Palestine, di Lubnan, di Iraq dan di semua tempat dan di semua masa.

Amiin Amiin


Muhammad Rasydan bin Junuh,
Kluster Pembangunan Insan Neo-Siswa Universiti Malaya.
Pencinta keamanan

MAULIDUR RASUL 1441H

12 Rabiul Awal ialah hari yang amat istimewa; terpahat dalam ingatan umat Islam dan juga detik teragung dalam sejarah Islam. Rasulullah SAW dilahirkan membawa rahmat ke seluruh alam sebagai contoh teladan kepada umat manusia seluruhnya.

Kita umat Islam sebagai umat Nabi Muhammad SAW seharusnya memperingati kelahiran Rasulullah SAW. Tidak dilupakan juga, pada tarikh dan hari yang sama jugalah berlakunya kewafatan baginda Rasulullah SAW.

Justeru, jika kita dapat menelusuri sirah perjalanan hidup dari awal kehidupan baginda sehinggalah ke hari kewafatan baginda, kita akan dapat membayangkan betapa panjangnya perjuangan menyampaikan Islam kepada seluruh umat manusia, khususnya masyarakat di Mekah, Madinah, dan Tanah Arab pada ketika itu.

Baginda memulakan episod dakwah pada awalnya dengan meneguhkan elemen teras dan utama dalam ajaran Islam, iaitu akidah dalam kalangan kelompok sasaran dakwah baginda SAW.

Akidah merupakan suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam dan merupakan suatu kekuatan utama yang mesti dimiliki setiap umat Islam agar jalan yang didukungi ini tidak lari daripada matlamat asal serta tidak bercanggah daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam.

Menyedari betapa pentingnya kekuatan akidah ini memperlihatkan kita melalui sirah baginda Rasulullah SAW; betapa kuatnya keimanan dan ketabahan generasi para sahabat ridwanullah ‘alayhim ajma‘in (reda Allah ke atas mereka keseluruhannya) bersama-sama dengan baginda dalam usaha menyampaikan Islam dan memahamkan masyarakat Arab Jahiliah pada waktu tersebut.

Jadikanlah dalam diri kita ini mampu menegakkan kebenaran agama Islam melalui teguhnya ikatan akidah Islam, iaitu dengan mendalami ilmu akidah sepenuh jiwa bagi menunaikan kewajipan fardu ain setiap manusia dalam menuntut ilmu akidah.

Barulah dapat kita mengenal Allah SWT secara sebenar-benarnya dan seterusnya, mengikuti Habibullah al-Mustafa Sayyiduna Muhammad SAW.

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِی یُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَیَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورࣱ رَّحِیمࣱ
Katakanlah (wahai Muhammad), “jika benar kalian mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kalian serta mengampunkan dosa-dosa kalian. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Surah Ali ‘Imran, 3: 31]

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas:
ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان: أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ
“Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini, nescaya dia akan dapat merasai kemanisan iman; iaitu dia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain, dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah, serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”

Kesimpulan yang dapat diambil sempena hari kelahiran insan agung Rasulullah SAW ialah:

Pertama: Kita hendaklah bersyukur dengan anugerah Islam dan iman hasil pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan ajaran Islam.

Kedua: Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh meneladani sirah Rasulullah SAW dan mengamalkan sunnah yang telah ditunjukkan Baginda.

Ketiga: Kita dituntut menyantuni seluruh manusia termasuk yang bukan Islam dengan akhlak baik bagi mempamerkan kemuliaan Islam.


Penulis,

Muhammad Ikram Bin Mohd Zulkepli

Pengerusi Duta Neo-Siswa UM

[FORUM BELANJAWAN : KENAIKAN PERUNTUKAN TAHUNAN UNIVERSITI MALAYA SEBANYAK RM 57 JUTA]

Pada hemat kami, isu mahasiswa khususnya berkenaan kebajikan ialah isu ‘evergreen’ (malar hijau) yang akan sentiasa melatari corak dan perjalanan sepanjang kita bergelar seorang penuntut. Namun begitu, yang menjadi faktor pembeza ialah keupayaan kita dalam merangka dan menyediakan solusi kepadanya.

Maka kami, Neo-Siswa Universiti Malaya menyambut baik usaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam mengumpul suara kolektif mahasiswa untuk diberdayakan usaha-usaha menatijahkan penyelesaian masalah secara tuntas.

Bagi perbincangan kali ini, Neo-Siswa berpendapat bahawasanya, pihak KMUM perlu mengklasifikasikan isu-isu kebajikan mahasiswa kepada dua bahagian:

Pertama, isu yang lestari (sustainable) yang jika diselesaikan, hal ini akan memberikan impak jangka masa panjang.

Kedua, isu yang tidak lestari yang boleh diselesaikan menerusi alternatif lain selain daripada peruntukan tahunan universiti.

Memandangkan peruntukan universiti ini adalah bersifat tahunan dan tidak dapat dijangka kadarnya bagi tahun-tahun mendatang, maka lebih sesuai untuk ditumpukan penyelesaian kepada isu yang lebih lestari agar manfaat yang diperolehi mahasiswa adalah secara menyeluruh dan berjangka masa yang lama

1. Isu Penempatan Mahasiswa UM – Penubuhan Kolej Kediaman Ketiga Belas (KK13)

Sepanjang pemerhatian, kita selaku mahasiswa UM saban tahun dibelenggu masalah penempatan. Kami ada mendengar ura-ura cadangan untuk menubuhkan KK13 di kampus UM Kuala Lumpur sebagai penyelesaian kepada isu penempatan ini. Namun sehingga kini, kita masih kurang jelas dengan status cadangan tersebut.

Maka di sini, kami mencadangkan agar pemegang taruh UM meneliti cadangan ini dan memberikan penjelasan sebenar sama ada berita ini benar ataupun sebaliknya. Jika tidak benar, kami dengan sukacitanya mencadangkan penubuhan KK13 ini agar direalisasikan.

Kami menyambut baik usaha KMUM menyediakan rumah KMUM sebagai inisiatif yang bernas, namun masih belum mampu menampung kuantiti mahasiswa UM yang melebihi kuota penempatan yang disediakan oleh pihak kolej agar rakan-rakan mahasiswa kita tidak terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi jika terpaksa menyewa di luar.

Seterusnya, jika berita penubuhan KK13 ini benar, maka kami mencadangkan beberapa mekanisme supaya pelaksanaannya benar-benar mampu menyelesaikan isu penempatan ini.

Pertama, kolej ini perlu diterapkan kaedah penyaringan dan penempatannya seperti sistem pelaksanaan rumah KMUM dengan mengutamakan pelajar-pelajar senior UM yang mempunyai kenderaan sendiri. Pensyaratan ini penting kerana ketika ini, masalah tentang kemudahan bas di dalam kampus masih belum dapat diselesaikan, inikan pula bagi kolej yang berada di luar yang perlu menghadapi situasi kesesakan lalu lintas.

Kedua, perlu diteliti adakah KK13 ini memerlukan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) ataupun tidak. Jika ya, maka perlu dicermati adakah peranan dan fungsinya sama seperti JTK di kolej lain? Jika tidak, maka bagaimanakah kita mahu selaraskan dan licinkan pengurusan di KK13 tersebut? Perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih mendasar bersama pihak pemegang taruh.

Ketiga, yuran yang dikenakan kepada penghuni KK13 harus dinilai semula kadar dan kewajarannya. Perbincangan ini perlulah menitikberatkan beberapa faktor seperti keperluan bayaran kemudahan bas, keperluan bayaran yuran JTK, dan sebagainya.

2. Isu Mahasiswa Dihimpit Kos Sara Hidup – Pemerkasaan ‘UM Endowment Fund’

Di tengah kota metropolitan yang tidak berhenti meningkatnya kos sara hidup, ribuan orang mahasiswa UM yang hadir dari pelbagai latar belakang kian dihimpit masalah kewangan. Kos sara hidup ini tidak hanya memberikan kesan kepada jadual dan gaya pemakanan, malah jadual harian yang terpaksa ditambah dengan kerja separuh masa dan sebagainya. Kami melihat, isu ini ialah isu yang konsisten melanda mahasiswa di mana-mana kampus sekalipun.

Beberapa bulan lalu, isu mahasiswa UM mengikat perut dan menahan lapar mendapat liputan meluas oleh media dan pihak luar. Berduyun-duyun bantuan berbentuk kewangan mahupun barangan diberikan kepada rakan-rakan kita yang berkenaan. Namun begitu, sampai bila kita mahu bergantung kepada isu yang bermusim seperti ini untuk mendapatkan dana bagi meringankan bebanan mahasiswa?

Maka, kami Neo-Siswa UM mencadangkan penyelesaian yang lestari, iatu dengan memperkasa ‘UM Endowment Fund’ (UMEF). UMEF ini sebenarnya berasal daripada idea dan perangkaan yang dicadangkan oleh pihak Neo-Siswa kepada pihak pentadbiran UM menerusi penubuhan ‘UM Awqaf’.

Penjenamaan semula ini dilihat mempunyai kesamaran dari sudut transparensi dan hala tuju dana itu disalurkan. Pihak KMUM boleh menuntut akauntabiliti daripada pihak pentadbiran universiti berkenaan pelaksanaan UMEF ini agar kita dapat mengetahui secara jelas ke manakah wang itu diagihkan serta dapat memastikan dana itu menjadi sebuah solusi jangka masa panjang terhadap isu kebajikan mahasiswa.

Berkenaan perbincangan agihan peruntukan tahunan universiti, kami mencadangkan sebahagiannya digunakan untuk menambah baik pengurusan UMEF ini, khususnya berkenaan publisiti dan capaian maklumatnya agar bukan hanya golongan korporat sekitar Kuala Lumpur sahaja mengetahuinya, malah bangsawan dan dermawan dari seluruh pelusuk tanah air mendapat info untuk saluran sumbangan ini.

تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

“Diambil harta daripada golongan kaya dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.”

Islam mencadangkan solusi dengan sistem aliran zakat, iaitu kita menyalurkan lebihan daripada golongan yang kaya kepada golongan yang memerlukan. Maka, di sini perlunya kreativiti dan kebijaksanaan dalam memanfaatkan golongan korporat dan bangsawan di Malaysia.

3. Isu Kemudahan Perkhidmatan Bas – Mengembalikan Kontrak Bas Ulang-Alik (Shuttle Bus) UM “Nadi Putra”

Kemudahan bas ini menjadi permasalahan yang diperdebatkan saban tahun bagi mahasiswa UM yang menetap di kolej. Tahun-tahun kebelakangan ini, peruntukan UM yang dipotong oleh kerajaan menjadi alasan oleh pihak pentadbiran universiti mengapa kemudahan bas dikurangkan jadualnya.

Pihak KMUM menjelaskan bahawa mereka telah menyertakan cadangan ini dalam ‘proposal’ (usul) tuntutan KMUM supaya kenaikan peruntukan universiti digunakan untuk kebajikan mahasiswa. Kontrak untuk membawa kembali perkhidmatan bas Nadi Putra ke dalam kampus UM menelan kos sebanyak RM1.3 juta setahun.

Maka, kami mencadangkan agar pihak KMUM menambah tuntutan agar diagihkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta bagi menandatangani kontrak perkhidmatan Nadi Putra selama lima tahun sekaligus.

Cadangan ini mempunyai beberapa asas penting.

Pertama, isu kemudahan bas bagi mahasiswa dapat diselesaikan secara lestari dengan mengambil peluang dan kesempatan kenaikan peruntukan universiti yang tinggi ini.

Kedua, tempoh lima tahun kontrak itu dapat memberi kita ruang dan peluang menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk meningkatkan jumlah pemandu bas bagi kampus UM. Hal ini demikian kerana, didapati pihak pentadbiran universiti pernah mengusahakan perkara ini, namun pihak SPA telah mengehadkan bilangan pemandu bas UM.

Ketiga, tempoh lima tahun ini mampu memberikan peluang kepada pihak universiti untuk menjana pendapatan sendiri bagi menampung kos kontrak perkhidmatan bas ini bagi tahun-tahun mendatang sebelum berakhirnya kontrak sedia ada.

4. Students’ Union – Pemerkasaan Akauntabiliti Menjadi Perjuangan ‘Students’ Union’

Kami berpendapat, pemberian status autonomi universiti kepada mahasiswa adalah antara pengupaya utama transformasi pendidikan negara. Kita dapat memperkasakan mahasiswa dengan memberikan ruang dan peluang mengurus selia perkara yang menjadi hak dan tanggungjawab mereka. Keberhasilan perjuangan menyelesaikan isu kebajikan mahasiswa UM pada sesi kali ini dilihat berpokok pangkal daripada kejituan gerak kerja KMUM serta sokongan padu daripada komponen gerakan mahasiswa yang lain.

Maka, kami yakin dan percaya, pemerkasaan kesatuan mahasiswa mampu menatijahkan kecekapan dalam menyediakan solusi bagi sebarang permasalahan yang berlaku, khususnya melibatkan hal ehwal mahasiswa.

Autonomi mahasiswa ini bukan semata-mata penurunan kuasa daripada Lembaga Pengarah Universiti kepada mahasiswa dalam aspek-aspek tertentu sahaja, namun perlu dijunjung dengan akauntabiliti dalam urus selia, baik di pihak pentadbiran mahupun pihak kesatuan mahasiswa itu sendiri.

Akauntabiliti ini sangat wajar dituntut daripada pihak pentadbiran universiti agar berlakunya transparensi dan integriti yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, agar kita selaku klien kepada pihak pentadbiran mengetahui ketelusan terhadap pengurusan, khususnya berkenaan agihan peruntukan kerajaan dan perbelanjaan universiti.

Akauntabiliti ini amat selari dengan prinsip keadilan yang digariskan Islam iaitu

وضع الشيء في مكانه

“Meletakkan Sesuatu pada tempatnya”

Wang yuran yang dilunaskan oleh mahasiswa seharusnya diberikan kebertanggungjawaban menerusi transparensi.

Pada masa yang sama, kita juga perlu sedar bahawa pemberian autonomi kepada mahasiswa ialah berkonsepkan ‘earned autonomy’ yang bermaksud, mahasiswa perlu membuktikan keupayaan memikul kebertanggungjawaban dalam aspek tertentu dengan kewajaran dan ketelusan. Justeru, pihak KMUM dan kumpulan gerakan mahasiswa juga tidak terkecuali dalam menjunjung akauntabiliti ini dalam pengurusan serta gerak kerja.

Namun setakat ini, kami perhatikan wawasan dan gagasan yang dibawa dan diperjuangkan adalah berfokus kepada autonomi semata-mata. Jikalau ada sekalipun, tidak ditonjolkan dan diuar-uarkan keberadaannya dalam nadi perjuangan KMUM. Keberjayaan kesatuan mahasiswa ini tidak dapat tidak perlu diraih menerusi kesinambungan autonomi dan akauntabiliti.

Maka, kami menyeru KMUM memperjuangkan ‘students’ union’ (kesatuan mahasiswa) ini dengan menjunjung autonomi dan akauntabiliti secara seiringan dan senada.

Hakikatnya, isu kebajikan mahasiswa yang menjadi teras perjuangan kesatuan dan gerakan mahasiswa ini memerlukan komitmen yang jitu tanpa mengira latar belakang dan aliran pegangan politik kampus. Maka, Neo-Siswa menyambut baik dan menyokong segala usaha untuk menegakkan hak kebajikan mahasiswa dan memperkasa kesepaduan mahasiswa.

Akhir kalam, Neo-Siswa menegaskan bahawa gerakan kami sentiasa menjunjung tinggi kebajikan mahasiswa dan Insya-Allah, sentiasa berusaha untuk mampu menyediakan solusi yang bernas dan tuntas. Di samping itu, kami juga berharap dan menyeru agar semua mahasiswa kembali bersatu padu dalam memartabatkan kesatuan kita, khususnya dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul.

Harapan buat pemegang taruh, teruskanlah usaha mengumpul suara dan perbincangan yang kolektif tanpa mengabaikan suara minoriti.


Disunting oleh

Azrie Ezaidi bin Rohaidee,

Mahasiswa Tahun 2,

Wakil Neo-Siswa Universiti Malaya.

BEDAH BUKU : Rahsia Al-Kahfi

Penulis buku : Ustaz Abdul Fatah Zakaria
Tahun terbit : Terbitan pertama 2004

Seperti semua sedia maklum, kebiasaannya ramai dalam kalangan para asatizah menghuraikan tentang surah Al-Kahfi ini kepada empat bahagian.

Pertamanya tentang pemuda ashābul kahfi yang melarikan diri untuk menyelamatkan akidah, kedua tentang pemilik dua kebun, ketiga kisah Nabi Musa dan Khīdir dan kisah yang terakhir adalah kisah Raja Dzulqarnāin. 

Ini antara empat kisah yang seringkali kita dengar, namun jika kita telusuri lebih mendalam tentang surah Al-Kahfi ini, kita akan dapati banyak lagi ibrāh dan mesej yang Allah hendak sampaikan kepada kita. Menurut Ustaz Abdul Fattah Zakaria, dalam bukunya bertajuk Rahsia Al-Kahfi beliau menghuraikan daripada aspek yang berbeza ;

1 •KEMENANGAN ISLAM TIDAK BERGANTUNG KEPADA KEBENDAAN•

Firman Allah SWT:

(وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا)

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Perlu kita faham dalam menghuraikan ayat-ayat Al-Quran, pertamanya adalah dengan kita merujuk sebab musabab diturunkan (asbābul Nūzul) ayat. Ini adalah antara adab kita dengan Al-Quran. 

Ayat ini diturunkan bersempena dengan cadangan dua orang sahabat yang baru memeluk Islam iaitu al-Aqra’ bin Habis dan Ùyainah bin Badr, lalu mereka mengatakan kepada Baginda Rasulullah S.A.W bahawa mereka meminta bginda untuk membuat majlis khas untuk golongn kaya dengan memisahkan golongan miskin, antara alasan mereka mengadakan majlis ini kerana golongan miskin ini tidak setaraf dengan pembesar-pembesar, yakni tidak berkemampuan membantu Islam dari segi kewangan. Lalu mereka berkata alangkah baiknya jika golongn kaya dan pembesar dapat menyumbang kekuatan dan kewangan kepada Islam. 

Lalu Rasulullah bersetuju bukan kerana bginda membenci golongan miskin, tetapi kerana ingin pembesar-pembesar dan orang yang berpengaruh masuk Islam dan membantunya. Lalu turunlah ayat ini menegur baginda S.A.W .

Antara point yang Allah hendak sampaikan daripada ayat ini kepada Rasulullah dan umat Islam adalah: 

• Allah meminta Nabi supaya terus bersabar dan sentiasa bersama sama dengan golongn yang sentiasa solat, beribadat dan berdoa kepada-Nya, walaupun mereka ini tidak punya pangkat dan kekayaan. 

• Allah juga menasihati Nabi supaya jangan mengabaikan sahabat-sahabat seperjuangannya yang miskin semata-mata ingin merapatkan hubungan dengan golongn yang kaya. 

• Kita wajib percaya bahawa kemenangan Islam itu tidak bergantung kepada harta benda semata-mata, tidak dinafikan bahawa harta benda penting juga sebagai wasilah untuk mencari redha Allah, buktinya orang Islam sendiri berusaha bekerja untuk hal keduniaan. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W : 

أنتم أعلم بأمر دنياكم 

Kamu lebih mengetahui hal urusan dunia kalian.  (HR Muslim) 

• Islam sendiri akan dimenangkan oleh Allah yang menguasai langit dan bumi. Maka yang selayaknya kita berpegang terus dan berharap adalah kepada Allah semata. Bukan kerana pangkat dan jawatan . 

إن ينصركم الله فلا غالب لكم وإن يخذلكم فمن ذا الذين ينصركم من بعده 

Jika Allah yg menolong maka tiada sesiapa yg akan dapat mengalahkan, namun jika bukan Allah yang tolong, siapa lagi yang layak menolong.

Ayat ini memberi rangsangan kepada mereka yang benar-benar yakin kepada Islam. Kerana umat akhir zaman ini hanya hidup berstatuskan Islam namun hakikatnya masih ragu-ragu dengan Islam, ragu-ragu dengan syariat-Nya. Sebab itu juga hari ini ramai yang berani menolak hukum Allah seperti hudud. 

2 •KAYA TANPA MENGHARAP REDHA ALLAH•

(وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا)

Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

•Ayat ini melarang kita supaya tidak terus patuh kepada golongn kaya dan berpangkat yang hanya memikirkan bagaimana hendak menambah kekayaan mereka tanpa mengharap redha Allah. 

•Sekalipun mereka memeluk Islam, Islam mereka itu hanya ikut hawa nafsu dengan mengabaikan syariat Tuhan. Ayat ini juga terkait dengan jangan kita sewenang-wenangnya bertāqiyah kepada golongn kuffar walaupun zahirnya hendak membantu Islam. 

(وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ)

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

3 •KEBENARAN ITU DARIPADA ALLAH•

( ۚ وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ ۖ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا)

Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah. 

•Allah menegaskan bahawa kebenaran itu daripada Dia sahaja, maka sesiapa yang hendak mendapatkan kebenaran, dia perlu berusaha ke arah itu begitu sebaliknya (mereka yg kafir). 

•Allah juga memberi ancaman kepada mereka yang mengingkari perintah-Nya, maka Allah menyediakan api neraka kepada mereka. 

4 •TAKUT KEPADA ALLAH•

Antara initipati ayat ini terutamanya sebagai seorang pemimpin, perlu tahu yang pertama hidup di dunia ini adanya syāriat Tuhan yang wajib dilaksanakan, yang kedua jika ingkar ancaman api neraka Allah menantinya.

Kerana itu manusia mempunyai dua kehidupan, dunia dan akhirat yang kekal. Manusia tidak sama dengan makhluk lain, binatang dan tumbuhan jika mati tidak akan disoal, tetapi sebaliknya bagi manusia. Segala perbuatan kita akan dibentang oleh Allah diakhirat kelak.

Maka ini menjadi satu rujukan dan teladan buat kita agar senantiasa berhati-hati dalam setiap kerja kita, kerana sebaik-baik manusia adalah yang takut kepada-Nya. 

Ini selari dengan hadith Nabi S.A.W : 

اتق الله حيثما كنت

Takutlah kamu kepada Allah dimana sahaja kamu berada . (HR Termizi) 

KESIMPULAN

Kesimpulannya suka saya kongsikan petikan daripada Dr. Solah Abdul Fattāh Al-Khālidi .. Beliau memetik ayat Quran : 

(وَاتَّبِعْ مَا يُوحَىٰ إِلَيْكَ وَاصْبِرْ حَتَّىٰ يَحْكُمَ اللَّهُ ۚ وَهُوَ خَيْرُ الْحَاكِمِينَ)

Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia lah sebaik-baik Hakim.

Beliau berkata, ayat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad lalu Allah perintahkan kepada baginda 2 perkara : 

1) Ikut atas apa yang Allah wahyukan 
2) Bersabar dalam memperjuangkan Islam 


Lalu diikuti perintah, diimana Allah akan menghukum musuh-musuh yang nyata mahupun tersembunyi. 

Dr. mengatakan bahawa Surah Yunus diturunkan ketika mana dalam fātrah kekerasan, kesusahan kaum muslimin di Mekah.  Akan tetapi ianya tidaklah dikhususkan kepada Nabi Muhammad bahkan ianya untuk kaum muslimin sehigga hari Qiamāt. 

Lalu beliau menyimpulkan bahawa keadaan itu sama seperti yang kita hadapi sekarang, kesusahan, keperitan, kebobrokan dalam menegakkan syiar agama Allah.

Apa yang boleh kita adaptasikan ayat ini adalah walaupun kita dlm keadaan yang sangat sukar dalam perjungkan Islam. Jangan pernah putus asa dan sentiasa bersabar dengan ujian yang Allah beri. 

Hal ini demikian telahpun Allah janjikan kemenangan Islam bukan semata-mata kerana usaha kita, tetapi ianya atas pertolongn Allah Taala .. 

Nama Penulis : Mohd Ammar Redza Bin Mohd Jais 
Duta Neo-Siswa Universiti Malaya

RASISME, APAKAH PENYELESAIANNYA?

Jumaat. Ogos 30, 2019

Sebagai suatu makhluk sosial, manusia terkadang merasakan satu kewajaran apabila memandang hubungannya dengan manusia yang lain serasa dibatasi dinding-dinding perbezaan secara fizikal ataupun bukan fizikal. Keseragaman fikiran manusia pada hari ini tentang wujudnya konsep perbezaan ras dan identiti adalah disebabkan banyak faktor yang perlu diperhatikan. Antaranya adalah kerana perbezaan warna kulit, agama, gaya pemikiran, ekonomi dan sebagainya. 

Faktor-faktor inilah yang menyebabkan Rasisme mengambil peluang menyerap masuk sekaligus merosakkan interaksi sosial masyarakat sehingga mereka akan merasakan kumpulan tertentu (samada kumpulan mereka ataupun tidak) adalah lebih bertamadun berbanding kumpulan lain. Yang lebih mengecewakan lagi apabila yang dikatakan kumpulan yang tidak bertamadun itu adalah dari kalangan diri mereka sendiri lalu timbullah perasaan rendah diri (inferiority complex) walhal banyak manfaat yang masyarakat sekeliling mampu memperoleh daripada diri mereka. 

Rasisme adalah frasa yang digunakan bagi menggambarkan kepercayaan seseorang terhadap kelebihan sesuatu ras atau bangsa itu lebih baik dari bangsa yang lain. Termasuk dalam kategori rasisme ini juga adalah sikap prejudis, diskriminasi serta permusuhan sesama umat manusia hanya kerana berbeza kaum dan etnik. Peristiwa-peristiwa buruk sudah banyak yang dibukukan punca daripada sifat rasisme yang teruk.

Continue reading “RASISME, APAKAH PENYELESAIANNYA?”